Pengambilan vaksin wajib bagi anggota TDM

Pengambilan vaksin wajib bagi anggota TDM

TENTERA Darat Malaysia (TDM) menegaskan pengambilan vaksin dalam kalangan anggotanya adalah diwajibkan atas dasar anggota TDM hidup secara berkelompok.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Sel Perhubungan Raya Markas TDM hari ini, ia memaklumkan peranan dan tanggungjawab TDM kini sebagai petugas barisan hadapan melaksanakan penugasan mahupun latihan, turut berdepan dengan kebolehjangkitan Covid-19.

Menurutnya, sehubungan itu wajar untuk semua anggota TDM mengambil vaksin bagi mengekang penularan yang bukan sahaja akan berlaku dalam kalangan anggota, bahkan boleh menjangkiti keluarga dan masyarakat keseluruhannya.

“Merujuk laporan diterbitkan di sebuah media online, TDM mengambil maklum penularan satu artikel bertajuk ‘Sarjan tentera dipecat kerana tolak vaksin Covid-19, hilang pencen’, yang diterbitkan hari ini melibatkan Sarjan Wan Ramly Wan Seman.

“Sebagai anggota TDM, pengambilan suntikan vaksin diwajibkan terutamanya sebelum melaksanakan sesuatu penugasan, kecuali mereka yang tergolong dalam kumpulan yang tidak layak untuk menerima vaksin,” menurut kenyataan itu.

TDM menegaskan tindakan seseorang anggota tentera yang ingkar atau enggan untuk menerima vaksin, boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan tatatertib kerana ingkar perintah atau melanggar perintah tetap.

“Ini juga bertujuan mendokong hasrat dan aspirasi Kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok dan seterusnya memutuskan rangkaian penularan wabak Covid-19 di negara ini.

“Setiap anggota TDM hendaklah mematuhi dan menuruti perintah yang telah dikeluarkan, bagi menentukan misi atau kesiapsiagaan organisasi tercapai,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu sebuah portal berita melaporkan isu pemberhentian Wan Ramli, 39, daripada batalion 24 Rejimen Askar Melayu Diraja (24 RAMD), berpangkalan di Kem Rasa, Negeri Sembilan, kerana menolak pemberian vaksin Covid-19.

Anggota tentera itu yang sudah berkhidmat selama 19 tahun akan diberhentikan berkuat kuasa 26 Ogos ini, hanya beberapa bulan sebelum tarikh penamatan perkhidmatan sepatutnya pada 21 Januari 2023. – Malaysiapost

Komen