MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) hari ini mengulangi komitmen bahawa ia sebagai gabungan politik akan diperkukuh, di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi.
Menerusi kenyataan, ia memaklumkan segala persiapan menuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan dipergiat termasuk perbincangan kerusi, manifesto, barisan kepimpinan dan calon, serta strategi untuk memenangi mandat rakyat.
“Pada masa sama, selaras Ketetapan Port Dickson bertarikh 9 April 2021, dan untuk menggembleng kekuatan seluruh blok pembangkang, PH mengambil pendirian terbuka untuk berunding dan bekerjasama di bawah konsep ‘Khemah Besar’ berdasarkan Agenda Reformasi dan kepentingan rakyat.
“Usaha menggembleng tenaga tersebut menerusi kaedah ‘Khemah Besar’ dalam kalangan ahli pembangkang mesti diberi keutamaan mengatasi permainan dan percaturan politik kuasa yang diperalat pihak tertentu untuk merebut kuasa dan jawatan yang hanya merugikan negara,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan bersama Anwar yang juga Presiden PKR; Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.
Kenyataan itu menambah, PH juga akan meneruskan tugas di Parlimen sebagai pembangkang yang memberikan kritikan, teguran, syor dan pandangan membina dan bertanggungjawab.
Katanya, ia sesuai dengan titah nasihat Yang di-Pertuan Agong demi memastikan proses semak imbang ke atas kuasa Eksekutif terus dilaksana.
Pada masa sama, ia Majlis Presiden PHn menjunjung kasih ke atas titah perkenan Seri Paduka Baginda untuk melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri yang dibuat selaras peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada kesemua 105 Ahli Parlimen pembangkang yang berdiri bersama mencalonkan Anwar, Ahli Parlimen Port Dickson tempoh hari tanpa kira parti dan perbezaan pandangan politik demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya. – Malaysiapost