Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedia memberikan kerjasama dalam menjayakan pendekatan ‘Bersepakat Selamatkan Keluarga Malaysia’ yang menjadi pegangan YAB khususnya dalam membawa negara segera keluar daripada kemelut kesihatan serta ekonomi kini.
KERAJAAN Pulau Pinang hari ini mengutus surat kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi mengemukakan beberapa isu untuk pertimbangan lanjut Perdana Menteri.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata isu pertama ialah berkaitan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) khususnya pembekalan vaksin kepada negeri itu.
Katanya, sehingga semalam Pulau Pinang mencatatkan pencapaian suntikan dos pertama sebanyak 77.5 peratus manakala dos kedua (45.4 peratus) bagi peratusan populasi dewasa.
Beliau berkata, Kekangan bekalan vaksin dihadapi Pulau Pinang perlu diatasi segera memandangkan peningkatan kes harian yang memerlukan perhatian.
“Malah, gangguan bekalan vaksin Pfizer–BioNTech pada minggu kedua Ogos 2021 turut memberi impak kepada pengoperasian Pusat Pemberian Vaksin (PPV) serta janji temu secara keseluruhan.
“Sebagaimana dimohon kerajaan negeri sebelum ini pada surat bertarikh 6 Ogos 2021 kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berhubung penambahan bekalan 500,000 dos vaksin, Pulau Pinang hanya memperoleh penambahan bekalan sebanyak 210,000 untuk Ogos.
“Justeru, sudah tiba masanya supaya tumpuan turut diberikan kepada keperluan negeri-negeri di luar daripada program Greater Klang Valley (GKV) demi meningkatkan kadar vaksinasi semasa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Kon Yeow berkata isu kedua ialah mempertingkatkan kemudahan perubatan dengan segera serta penubuhan pusat-pusat perubatan termasuk keperluan logistik pesakit dan personel perubatan, bekalan makan dan lain-lain berkaitan.
Pada masa sama, katanya, kerajaan perlu mengemaskini, mempermudah serta menyelaraskan prosedur operasi standard (SOP).
“Ini khusus kepada kes-kes positif yang diarah menjalani kuarantin di rumah, Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dan Bilik Gerakan yang mana ia mampu mencegah perebakan kes dengan lebih berkesan sekiranya prosedur sedia ada dikemas kini,” katanya. – Malaysiapost