Sambut baik Keluarga Malaysia, 3 perkara fokus utama PM ke-9

PEMUDA Umno menyambut baik konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, namun menegaskan tiga perkara mesti menjadi keutamaan negara ketika ini.

Ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Keluarga Malaysia satu pendekatan baru yang amat baik bersifat inklusif oleh Perdana Menteri untuk memfokuskan kesejahteraan rakyat dan pemulihan negara merentasi parti selaras titah Yang di-Pertuan Agong.

“Bagi Pemuda Umno, tiga perkara yang mesti didahulukan segera ialah tuntutan rakyat yang meliputi permintaan penambahbaikan pakej bantuan rakyat termasuk BPN, BKC, Moratorium tanpa faedah terakru, i-Citra KWSP RM10 ribu one-off, tambahan suntikan fiskal bantuan kerajaan dan lain-lain.

“Kedua, vaksinasi perlu disegerakan dan diperluaskan bagi mencapai ‘herd imunity’ atau imunisasi berkelompok yang mampu mengurangkan risiko rakyat yang dijangkiti Covid-19 sehinggaa ke tahap memudaratkan nyawa dan kesihatan,” katanya di Facebook, hari ini.

Bagaimanapun, Dr Asyraf berkata, perkara ketiga yang perlu diberi fokus oleh Ismail Sabri ialah mengkaji semula keberkesanan sekatan pergerakan penuh atau ‘total lockdown’.

“Total lockdown boleh dikaji semula agar pendekatan separa masak sebelum ini tidak diulangi.

“Memandangkan virus hanya tersebar melalui pergerakan manusia, memutuskan rantaian virus hanya boleh dicapai jika penutupan penuh total lockdown untuk tempoh masa terhad disertai dengan bantuan khas kepada rakyat dapat dilakukan,” katanya.

Asyraf juga berharap penglibatan semua parti politik tanpa mengira ideologi, bukan sahaja pelan pemulihan mampu direalisasikan dengan berkesan, bahkan suhu politik negara dapat diturunkan dan ‘political ceasefire’ atau gencatan senjata politik benar-benar dapat dilaksanakan. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights