TANGGAL 23 Ogos akan dikenang sebagai hari pertama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memulakan tugas secara rasmi di Perdana Putra, Putrajaya.
Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri memuat naik gambar beliau sedang menandatangani buku selamat datang dan selamat bertugas dengan kapsyen ringkas, “Bismillahirrahmanirrahim.”
Terdahulu, Ismail Sabri tiba di pekarangan bangunan Perdana Putra jam 8.23 pagi.
Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan berkata, ketibaan Ismail Sabri disambut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Rakon.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang; Ketua Polis Negara dan Peguam Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.
Perdana Menteri yang diiringi pegawai kanan kerajaan kemudian dibawa mengimbas kad perakam waktu sebagai tanda bermula tugas beliau sebagai Perdana Menteri sebelum beliau
“Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, 61, diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk dilantik sebagai Perdana Menteri yang baharu berkuat kuasa 21 Ogos 2021.
“Jabatan Perdana Menteri mengalu-alukan kedatangan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan,” katanya.
Perdana Menteri dijadualkan melakukan lawatan kerja rasmi pertamanya ke Kedah hari ini bagi meninjau dan melawat mangsa tragedi kepala air serta banjir lumpur.
Beliau dijadual meninjau Jambatan Tupah, Merbok, yang mengalami kerosakan selepas dihentam pokok balak hanyut dalam kejadian Rabu lalu, sebelum melawat penduduk yang terjejas akibat banjir lumpur di Taman Lembah Merbok.
Perdana Menteri akan melawat Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) di Titi Hanyun serta menerima taklimat berkaitan operasi yang sedang dilakukan pasukan penyelamat.
Beliau dijadual menerima taklimat berkaitan kejadian daripada Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor dan Ketua Polis negeri, Datuk Kamarul Zaman Mamat.
Selepas itu, Perdana Menteri akan melawat kawasan yang terjejas akibat banjir lumpur terutama di Kampung Setol sebelum menyampaikan bantuan kepada mangsa di Masjid Jame’ Badlishah.
Pada sebelah petang, Ismail Sabri dijangka mengadakan pertemuan bersama Muhammad Sanusi di Seri Mentaloon, Alor Setar sebelum berangkat pulang ke ibu negara menggunakan pesawat khas. – Malaysiapost