SEMPENA bulan kemerdekaan, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, mengingatkan rakyat Malaysia supaya terus mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara dengan kebersamaan sesama rakyat.
Beliau berkata, walaupun banyak perkara berlaku dalam negara sepanjang bulan ini, namun semangat cintakan negara perlu diterapkan.
“Sebelum keluar rumah tadi. Pasang Jalur Gemilang kat kereta saya.
“Banyak yang berlaku bulan ini. Tetapi jangan sesekali kita lupa. Ini tanah air kita,” katanya yang turut berkongsi gambarnya memasang Jalur Gemilang di kereta dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Menurutnya, Malaysia adalah tempat kita lahir dan dibesarkan, maka bumi dipijak inilah yang memberikan rezeki dan berkat kemakmuran.
“Lindungilah dari segala penderhakaan, pengkhianatan dan penjajahan. Pertahankan kedaulatan dan kemerdekaan ini dengan kebersamaan di antara kita.
“Semoga Allah SWT merahmati Malaysia dan rakyat Malaysia.” katanya. – Malaysiapost