TUNKU Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan bertemu Pengarah Pendidikan dan guru-guru di Johor yang dilaporkan menolak vaksin di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, Jumaat ini.
Selain guru-guru berkenaan, perjumpaan itu akan disertai Mufti dan Setiausaha Kerajaan Johor.
Tunku Ismail berkata, perjumpaan itu adalah demi kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
“Saya akan berjumpa dengan Pengarah Pendidikan Johor dan para guru di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan bersama-sama Mufti Johor dan Setiausaha Kerajaan Johor pada Jumaat ini.
“Demi kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara. Insya-Allah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah kakitangan awam termasuk golongan guru perlu memahami betapa pentingnya pengambilan vaksin untuk melindungi diri, keluarga serta masyarakat.
Baginda bertitah, pengambilan vaksin adalah penting dan perlu dipertingkatkan bagi mencapai sasaran imuniti kelompok di negara ini, seterusnya berupaya membendung penularan jangkitan Covid-19.
Baginda bertitah demikian sebagai mengulas laporan seramai 779 guru di Johor menolak untuk menerima vaksin Covid-19. – Malaysiapost