Tragedi kepala air: RM75 juta baiki infrastruktur rosak, wang ihsan kepada rakyat terjejas
PERDANA Menteri mengumumkan peruntukan RM75 juta bagi membantu Kerajaan Kedah membaik pulih infrastruktur rosak teruk dalam tragedi kepala air di Gunung Jerai, baru-baru ini.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut mengumumkan wang ihsan RM500 kepada keluarga terjejas, RM5,000 untuk pengurusan kematian melalui Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara dan pembinaan rumah rosak di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
Dalam hantaran di Facebook, beliau memperincikan kerja membaiki infrastruktur, iaitu seperti berikut:
Naik taraf sungai dan sistem saliran: RM5 juta
Pembinaan dua jambatan baharu berjumlah: RM23 juta
Pembinaan Empangan Sabo Fasa 1 berjumlah RM20 juta
Naik taraf muka sauk loji rawatan air Gurun dan Tupah: RM2 juta.
Beliau turut memaklumkan bantuan bernilai RM12.7 juta disalur untuk membaiki kemudahan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemulihan sektor pelancongan desa.
“Bantuan bernilai RM3 juta disediakan bagi kerja membaik pulih kerosakan tanaman padi, infrastruktur bekalan air masyarakat, jalan, longkang dan titi kampung,” tulisnya.
Ismail Sabri turut mengarahkan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memulakan projek pemulihan itu pada bulan depan.- Malaysiapost