28 kes Covid-19 babit mangsa banjir Yan, Kedah

JABATAN Kesihatan Negeri Kedah (JKN) melaporkan setakat ini sebanyak 28 kes yang disahkan positif Covid-19 telah dikesan membabitkan penduduk yang tinggal di kawasan banjir akibat fenomena kepala air di Yan, pada Rabu lalu.

Pengarahnya, Dr Othman Warijo berkata, selepas penilaian segera dilakukan, terdapat tiga kes dimasukkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk rawatan lanjut.

“Sebanyak 10 kes dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Sungai Petani untuk pengawasan lebih rapi.

“Sebanyak 15 kes lain tanpa gejala atau bergejala ringan terus tinggal di rumah masing-masing dan diawasi Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Daerah Yan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, seramai 41 individu lagi diletakkan di bawah pengawasan tinggal di rumah dan diawasi secara bersepadu oleh pasukan pemantauan polis bersama agensi penguatkuasa lain dan Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Yan.

“Dengan berakhirnya operasi mencari dan menyelamat (SAR), saringan ke atas anggota SAR menggunakan Kit Ujian Pantas (RTK) saliva dilakukan PKD Yan, semalam bertempat di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), Titi Hayun, Yan.

“Seramai 275 anggota terdiri daripada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA, Majlis Daerah Yan dan pelbagai agensi penyelamat lain serta pasukan malim gunung menjalani saringan dengan 274 anggota didapati negatif.

“Satu sampel menunjukkan keputusan ‘intermediate” dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk ujian lanjut dan disahkan negatif,” katanya.

Dr Othman berkata, hasil penilaian risiko oleh PKD Yan mendapati risiko jangkitan penyakit bawaan air banjir adalah rendah dan daripada keseluruhan 78,000 penduduk 73.9 peratus penduduk dewasa sudah menerima satu dos vaksin dan 44.7 peratus lengkap dua dos vaksin.

Menurutnya, sebagai tindakan pencegahan, PKD Yan mengambil beberapa langkah segera seperti penilaian kesihatan segera terhadap semua pesakit Covid-19 dan merujuk pesakit berkenaan ke PKRC atau hospital.

“Sukacita juga dimaklumkan PKOB Yan telah menetapkan supaya semua badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin membantu perlu lengkap divaksin dan perlu membuat saringan Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights