85 peratus pekerja industri Negeri Sembilan divaksinasi

85 peratus pekerja industri Negeri Sembilan divaksinasi

SERAMAI 54,867 orang atau 85 peratus pekerja industri di Negeri Sembilan sudah menerima suntikan dos pertama Covid-19, setakat semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek, berkata sementara 28,938 individu daripadanya sudah melengkapkan kedua-dua dos suntikan.

“Program pemvaksinan untuk pekerja industri di Negeri Sembilan berjalan lancar di mana majoriti pekerja iaitu sekitar 85 peratus daripada rekod keseluruhan 73,000 pekerja industri di Negeri Sembilan telah memperoleh vaksin dos pertama.

“Jadual yang dirangka untuk memperoleh vaksin penuh untuk keseluruhan pekerja industri di Negeri Sembilan menjelang pertengahan September depan dijangka berjalan sebagaimana dirancang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan itu turut memaklumkan terdapat dua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Program Imunisasi Industri Covid-19 Awam-Swasta (PIKAS) yang masih beroperasi iaitu di d’Tempat Country Club, Sendayan dan Dewan D’Cattleya Senawang.

“Selain itu, ramai kalangan pekerja industri yang turut mendapatkan suntikan vaksin di PPV awam di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan negeri berusaha memastikan setiap premis sektor perindustrian memperoleh pencapaian 100 peratus suntikan vaksin bagi membolehkan sektor itu beroperasi semula secara optimum.

Tambahnya, tiga syarat utama ditetapkan untuk menjadikan premis perkilangan kawasan bebas Covid-19 iaitu mencapai 100 peratus pekerja menerima dua dos suntikan vaksin.

“Setiap individu yang memasuki premis perkilangan perlu terlebih dahulu disaring uji dan bebas gejala wabak itu.

“Syarat lain ialah mematuhi prosedur standard operasi (SOP) kesihatan ditetapkan pihak berkuasa.

“Sektor ekonomi tidak boleh dihentikan sebaliknya ia perlu dirangsang semula untuk memulihkan ekonomi masyarakat dan negara,” katanya. Malaysiapost

Komen