Agong, Permaisuri zahir takziah kepada keluarga bekas PAT

YANG di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT) ketujuh, Jeneral (B) Tan Sri Mohd Ghazali Mohd Seth yang kembali ke Rahmatullah hari ini.

Istana Negara menerusi Facebook rasminya hari ini menyatakan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham.

“Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini,” kata kenyataan itu.

Selain itu, Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin

“Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong, selaku pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), amat menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada ATM dan juga negara,” kata kenyataan itu.

Allahyarham yang dilahirkan pada 4 Februari 1929 di Johor Bahru, pada awal penglibatan bersama ATM memulakan latihan Pegawai Kadet di Eaton Hall, England pada tahun 1952.

Dari Eaton Hall, Allahyarham pernah terpilih untuk menjalani latihan di Royal Military Academy Sandhurst (RMA Sandhurst) sehingga tahun 1954.

Allahyarham memulakan perkhidmatan bersama ATM di Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) berpangkalan di Alor Setar.

Sebagai Ketua Platun, Allahyarham pernah mengetuai operasi menentang pengganas komunis di Sungai Siput, Bidor dan Alor Setar.

Allahyarham juga pernah berkhidmat sebagai Penasihat Tentera Malaysia (Military Attache) di Jakarta, pada tahun 1958 dan merupakan Penasihat Tentera Malaysia termuda dan pertama ke Indonesia ketika itu.

Pada 1977, Allahyarham dilantik Panglima Tentera Darat bagi tempoh lima tahun hingga 1982, sebelum dilantik Panglima Angkatan Tentera ketujuh dari tahun 1982 hingga 1985. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights