Bekas PAT ketujuh meninggal dunia

Bekas PAT ketujuh meninggal dunia

BEKAS Panglima Angkatan Tentera Malaysia ketujuh, Jeneral (B) Tan Sri Mohd Ghazali Mohd Seth meninggal dunia di Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL), pagi tadi.

Allahyarham yang berusia 93 tahun dilaporkan menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 10.30 pagi.

Berita pemergian beliau dimaklumkan dan dikongsi bekas Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang juga anak saudaranya.

“Bapa saudara saya, Tan Sri Dato’ Mohd Ghazali Seth telah pulang ke Rahmatullah. Perkhabaran yang amat menyedihkan bagi kami sekeluarga.

“Marilah kita sama-sama doakan, semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkannya bersama para hamba-Nya yang diredhai. Insya-Allah. Al-Fatihah,” kongsinya di laman Facebook, hari ini.

Allahyarham yang juga Pengerusi Persatuan Pempamer Filem Malaysia (MAFE) difahamkan dimasukkan ke Hospital KPJ Damansara Specialist Centre pada 17 Ogos lalu sebelum dipindahkan ke CVSKL, semalam.

Beliau merupakan Panglima Angkatan Tentera Malaysia dari tahun 1982 hingga 1985 dan mantan Panglima Tentera Darat dari tahun 1977 hingga 1982.

Allahyarham berkhidmat di bawah kepimpinan dua Perdana Menteri iaitu iparnya sendiri, Tun Hussein Onn serta penggantinya Tun Dr Mahathir Mohamad. – Malaysiapost

Komen