BEKAS jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei sepatutnya tampil melaporkan cubaan merasuah membabitkan dirinya kepada Suruhanjaya Rasuah Malaysia (SPRM).
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata masalah rasuah dalam bidang sukan bukanlah perkara baharu di Malaysia.
Katanya, ia sudah menular sejak sekian lama dan jika dibiar berlarutan boleh merosakkan masyarakat dan meruntuhkan negara, selain industri sukan boleh terencat sekiranya masalah itu tidak dibanteras sepenuhnya.
“Rasuah dalam sukan bukan hanya berkaitan dengan perolehan dana persatuan dan menggunakan jawatan untuk mendapat suapan, malah mengatur keputusan perlawanan, penyalahgunaan kuasa serta proses dalam membuat sesuatu keputusan juga ditakrifkan sebagai rasuah.
“SPRM telah mendefinisikan suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan, upah mahupun pemberian diskaun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Jais berkata, MCW berpendapat isu rasuah dalam sukan di Malaysia masih berada pada tahap terkawal.
“Tindakan segera Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam mengambil langkah pembudayaan, pencegahan dan penguatkuasaan dari masa ke semasa adalah penting untuk memastikan ia tidak menjadi ‘barah’ kepada pembangunan sukan negara.
“Pastikan semua badan sukan kebangsaan bebas daripada budaya tidak sihat itu dan sebarkan semangat bebas rasuah kepada semua ahli sukan.
“Trend gejala rasuah dalam sukan di Malaysia biasanya melibatkan aktiviti mengatur perlawanan yang melibatkan kejohanan ternama, hadiah besar dan pertaruhan sama ada secara sah atau pun tidak,” katanya.
Tambahnya, kegagalan melaporkan kes ini tidak boleh dimaafkan kerana implikasinya cukup besar.
Katanya, kegagalan melaporkan cubaan merasuah adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 25(1) dan (2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak lebih dari RM 100,000 jika sabit kesalahan.
“Manakala, Seksyen 17 (1), Akta Pencegahan Rasuah 1997 juga memperuntukan kesalahan dan hukuman yang sama kepada kes yang berlaku sebelum tahu 2009. Justeru, SPRM mesti menyiasat dakwaan ini,” katanya.
Semalam, Chong Wei dilaporkan mengenali individu yang cuba menyogok lawannya, Taufik Hidayat di peringkat separuh akhir Sukan Asia Doha 2006.
Bekas jaguh Indonesia itu mendedahkan bahawa dia pernah didekati seorang pegawai dari Malaysia untuk tewas pada perlawanan separuh akhir bertemu Chong Wei di Sukan Asia Doha 2006.
Taufik yang juga pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2004, bagaimanapun tidak melayan tawaran itu, sebaliknya melakar kemenangan ke atas Chong Wei dan kemudian memenangi kejohanan itu. – Malaysiapost