Kabinet: Azmin hampir pasti dilantik TPM, Tok Mat Hasan jadi menteri?

AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dikatakan hampir pasti dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. 

Menurut sumber dalaman Umno, jawatan nombor dua akan diberikan kepada ‘orang’ Bersatu atas dasar perkongsian kuasa antara Barisan Nasional (BN) serta parti-parti kompenen Perikatan Nasional (PN) yang membentuk kerajaan baharu. 

Beliau berkata, berdasarkan pengalaman, Mohamed Azmin dilihat calon paling sesuai untuk menggalas jawatan yang membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.  

Ahli Parlimen Gombak itu pernah menjadi Menteri Besar Selangor pada 2015 hingga 2018 sebelum dilantik Menteri Hal Ehwal Ekonomi oleh Tun Dr Mahathir Mohamad ketika era kerajaan Pakatan Harapan (PH). 

Namun sumber itu berkata, bekas Menteri Perdagangan Antrabangsa dan Industri (MITI) itu turut berdepan saingan dua lagi calon dari Bersatu. 

Mereka ialah Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin.  

Dalam masa sama, Perdana Menteri dikatakan akan mengumumkan barisan Kabinet kerajaan baharu pada Jumaat ini.  

Ia disahkan sumber itu yang turut memaklumkan Jemaah Menteri Ismail Sabri akan menampilkan perbezaan daripada ‘line up’ kerajaan terdahulu. 

Semalam, Ismail Sabri memberitahu beliau akan mengumumkan barisan Kabinet baharu minggu ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. 

Sementara itu, sumber sama memaklumkan, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan dijangka akan menyertai Kabinet, namun belum dapat dipastikan kementerian yang akan diketuai beliau. 

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki semalam mencadangkan Mohamad Hasan atau mesra dengan panggilan Tok Mat dilantik sebagai Menteri Kewangan.   

Menurut Asyraf Wajdi, Kementerian Kewangan memerlukan pemimpin yang dekat di hati rakyat dalam memahami situasi mereka yang sedang bergelut meneruskan kelangsungan hidup sepanjang pandemik Covid-19.   

Katanya, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu adalah individu sesuai dan bertepatan untuk menggalas tanggungjawab mengetuai Kemtenterian Kewangan. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights