MESKIPUN hampir seminggu tragedi kepala air di Gunung Jerai, Yan berlalu, namun sehingga kini ia masih memberi kesan mendalam kepada mangsa yang terlibat.
Malah Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mengakui sebak mendengar cerita mangsa tragedi yang mengorbankan enam nyawa serta merosakkan harta-benda termasuk rumah penduduk berhampiran.
Beliau berkata, para sukarelawan juga berdepan tugas mencabar dalam membantu membersihkan rumah penduduk yang ditenggelami lumpur.
“Sayu… berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Nak cuci selut yang masuk ke dalam rumah pun berat juga. Saya cuba senyum menahan sebak bila dengar mangsa-mangsa tragedi ni bercerita.
“Ada rakan kami begitu bersemangat nak pi (pergi) bantu cuci. Target tiga rumah nak cuci untuk hari tu. Habis serumah, terus terduduk. Serumah tu pun, dapur saja.
“Nak ceritanya, keleboq (lumpur) tebai (tebal) masuk dalam rumah. Berat nak angkut. Terima kasih kepada semua bantu penduduk. Ada yang datang dari Johor untuk bantu. Terima kasih,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Beliau turut menasihatkan para sukarelawan supaya berhati-hati kerana lumpur tebal serta kemungkinan boleh tertimbus jika tidak bernasib baik.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bantuan segera RM75 juta bagi membantu kerajaan Kedah memperbaiki kemudahan awam dan infrastruktur di Yan dan Merbok yang rosak akibat tragedi Rabu lalu.
Beliau berkata peruntukan itu termasuk RM50 juta menerusi Kementerian Alam Sekitar dan Air yang antara lain untuk menaik taraf sungai dan sistem saliran sepanjang 27 kilometer fasa satu daerah berkenaan melibatkan kos RM5 juta. – Malaysiapost