BEKAS Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, mendakwa terdapat pihak menggunakan namanya bagi tujuan penipuan dengan kononnya ingin mewujudkan kumpulan media di aplikasi WhatsApp.
Ahli Parlimen Tenggara itu meminta semua pihak yang mendapat mesej berkenaan yang memohon untuk memasukkan mereka dalam kumpulan WhatsApp palsu terbabit supaya tidak terpedaya.
Beliau menafikan kewujudan kumpulan terbabit yang dikatakan bertujuan untuk memerangi pandemik Covid-19.
“Assalamualaikum dan salam sejahtera. Mohon berhati-hati dengan mesej seperti tertera dalam gambar-gambar di bawah.
“Mesej tersebut tidak benar dan disebarkan menerusi aplikasi WhatsApp oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.
Dr Adham turut mengucapkan terima kasih kepada kenalannya termasuk rakan media yang bertanya kepadanya terlebih dahulu mengenai kesahihan mesej tersebut.
“Stay safe dan patuhilah prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya yang turut berkongsi tangkap layar mesej palsu berkenaan. – Malaysiapost