PARLIMEN Malaysia hari ini merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Azalina Othman Said atas khidmat beliau sepanjang bertugas sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat.
“Seluruh warga Parlimen Malaysia merakamkan ucapan setinggi penghargaan dan terima kasih atas sumbangan serta jasa bakti Datuk Seri Azalina sepanjang menjalankan tanggungjawab sebagai Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat,” kata Parlimen Malaysia menerusi Facebook.
Semalam Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang mengesahkan peletakan jawatannya sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat.
Beliau memaklumkan pengundurannya dari jawatan tersebut diharap dapat memberi ‘reset’ pada persidangan Dewan Rakyat.
“Dengan pelantikan Perdana Menteri baharu dan tuntutan orang ramai yang kuat dan jelas untuk kerjasama pelbagai parti, saya mengundurkan diri hari ini untuk mengosongkan kerusi saya.
“(Ini) agar kerajaan dan pembangkang memiliki lebih banyak ruang untuk ‘reset’ Dewan Rakyat sehingga dapat benar-benar berfungsi sebagai forum persaingan profesional dan kerjasama antara parti mengenai dasar dan kerajaan,” katanya. – Malaysiapost