SEORANG pembaca meter elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) cedera selepas tangan kanannya digigit anjing ketika bertugas di Jalan Api-Api 1, Taman Megah Ria, Johor kelmarin.
Dalam kejadian itu, Mohd Faridzuan Nordin, 27, dipercayai diterkam anjing yang meluru keluar apabila pintu pagar kecil rumah itu dibuka oleh cucu pemilik rumah tersebut.
Menerusi perkongsian yang tular di media sosial semalam, anak pemilik anjing berkenaan turut bergelut dengan haiwan tersebut untuk membantu mangsa.
Pergelutan itu berlaku selama beberapa minit sebelum anjing itu melepaskan gigitan, mangsa kemudian meminta bantuan menerusi aplikasi WhatsApp.
Susulan itu, beberapa rakan sekerja ke lokasi kejadian untuk membantu dan membawanya ke klinik Penawar Taman Megah Ria untuk mendapatkan suntikan dan rawatan, sebelum dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI), untuk rawatan lanjut.
Insiden digigit anjing itu menyebabkan mangsa mengalami luka di lengan kanan yang agak serius, ibu jari tangan kiri dan calar-calar di bahagian kaki kiri.
Memetik laporan Kosmo, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan telah menerima laporan yang dibuat mangsa pada hari sama.
“Bagaimanapun, mangsa secara sukarela menarik balik laporan itu setelah perbincangan dibuat oleh kedua-dua pihak dan kes diselesaikan dengan baik,” katanya. Malaysiapost