ISLAM menuntut umatnya patuh dan taat kepada kepimpinan pemerintah termasuklah keputusan yang telah dibuat berhubung pelantikan Perdana Menteri Malaysia kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, berdasarkan tuntutan agama, orang Islam mesti berpegang teguh kepada apa-apa yang diputuskan apabila sudah ada keputusan yang dibuat.
Beliau berkata, mengikut kaedah Islam juga sekiranya timbul pertikaian terhadap keputusan yang telah dibuat, penganut agama itu perlu tunduk kepada majoriti.
“Kita bersyukur masalah pemilihan Perdana Menteri ini sudah pun terjawab iaitu dengan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Orang Islam mesti berpegang teguh kepada apa-apa yang telah diputuskan dan sekarang apabila sudah ada keputusan yang dibuat, masing-masing perlu beri kepatuhan dan ketaatan kepada kepimpinan baharu,” katanya dipetik Sinar Harian.
Dalam pada itu, Mohamad Shukri juga menyifatkan pendekatan Ismail Sabri yang mengetengahkan konsep Keluarga Malaysia sebagai langkah yang sangat positif.
“Konsep yang mana semua rakyat dapat merasa sebagai satu keluarga besar agar apa-apa permasalahan yang timbul kita dapat selesaikan secara berkeluarga.
“Kita mendoakan beliau akan diberikan kesihatan, taufik dan hidayah sekali gus dapat memimpin serta merealisasikan harap rakyat iaitu dua penyelesaian yang besar mengenai kesihatan serta perkembangan ekonomi,” katanya. – Malaysiapost
Kredit Foto: NSTP/Syamsi Suhaimi