Penternak lembu mati ditikam, ditembak

Penternak lembu mati ditikam, ditembak

PENTERNAK lembu ditemukan mati dengan kesan tikaman dan tembakan di Estet Kongsi 14, Jalan Bukit Selambau, Sungai Petani, malam tadi.

Mangsa berusia 38 tahun itu ditemui dalam tetiarap berlumuran darah bersebelahan motosikal jenis Honda EX5 miliknya.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat mangsa di bahu jalan di estet itu pada jam 10.30 malam.

“Siasatan mendapati terdapat kesan luka tikaman di dada dan tembakan di bahagian hadapan dan belakang badan mangsa.

“Turut dijumpai di tempat kejadian ialah kelongsong peluru dan semakan mendapati mangsa mempunyai rekod jenayah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adzli berkata, mayatnya dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat.

Tambahnya, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca mangsa dibunuh dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Malaysiapost

Komen