Perdana Menteri ziarah Ahmad Zahid di hospital

Perdana Menteri ziarah Ahmad Zahid di hospital

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menziarah Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dilaporkan menjalani rawatan di sebuah hospital swasta di Shah Alam hari ini.

Perkara itu dikongsi oleh Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang gembira melihat hubungan baik antara Presiden dan Naib Presiden Umno itu.

“Seronok melihat hubungan kasih sayang dan kemesraan dua sahabat baik, bak air dicincang tidak sesekali terputus.

“Walau kini di puncak kuasa, tetap menghormati nakhodanya. Syabas YAB Datuk Seri Ismail Sabri. Moga Allah berikan kesembuhan sempurna buat Datuk Seri Presiden Umno,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, malam ini.

Asyraf Wajdi turut berkongsi gambar kedua-dua pemimpin berkenaan.

Terdahulu, anak sulung Ahmad Zahid Hamidi menyangkal tohmahan sesetengah pihak bahawa bapanya ‘buat-buat sakit’ untuk mengelak menghadiri perbicaraan mahkamah hari ini.

Nurul Hidayah Ahmad Zahid memuat naik video di laman sosial yang memaparkan bapanya sedang ditolak pengusung untuk memasuki dewan pembedahan di sebuah hospital pagi tadi.

Media melaporkan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dimasukkan ke hospital pagi tadi bagi menjalani prosedur membabitkan kecederaan tulang belakang.

Susulan itu, hujahan akhir pendakwaan kes Ahmad Zahid membabitkan dana Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sekali lagi ditangguhkan.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik memberitahu mahkamah, anak guamnya itu dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Shah Alam.

Hakim Collin Lawrence Sequerah bagaimanapun, meminta pihak pembelaan memanggil doktor berkenaan untuk hadir ke mahkamah hari ini bagi menerangkan kecederaan dan prosedur terbabit sebelum menetapkan satu tarikh lain. – Malaysiapost

Komen