Presiden Umno tak jadi PM bukan polemik
PRESIDEN Umno bukan Perdana Menteri selepas berjaya menumbangkan kerajaan terdahulu bukan suatu polemik, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), beliau adalah Presiden Umno pertama tidak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri susulan tumbangnya Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH).
Kini selepas tumbangnya kerajaan Perikatan Nasional (PN), jawatan Perdana Menteri kembali kepada Umno namun disandang Naib Presiden parti, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ahmad Zahid berkata, Presiden Umno bukan Perdana Menteri adalah suatu ‘dinamika politik’ yang harus demi membebaskan rakyat dan negara daripada kegagalan tidak berkesudahan.
“Jika itu satu-satunya langkah segera yang memungkinkan rakyat dan negara diselamatkan, apakah ada lebih bermakna daripada itu?
“Presiden Umno perlu sentiasa bersifat realis dengan suasana yang pragmatik demi kemaslahatan rakyat dan negara dalam setiap langkahnya,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Ahmad Zahid berkata, fokus utama beliau semata-mata adalah memastikan pandemik Covid-19 dapat ditangani secepat mungkin agar rakyat dalam kesusahan diselamatkan.
“Terlalu ramai sudah terkorban dan kadar jangkitan masih tinggi, manakala ekonomi negara perlu dipulihkan pada kadar terpantas.
“Kini masa untuk berganding bahu seusai perubahan dijayakan. Tiada yang lebih penting daripada itu dan janganlah sia-siakan harapan rakyat,” katanya.
Katanya, pada masa sama tanpa memegang jawatan Perdana Menteri, beliau mempunyai ruang untuk memperkasa dan mempersiapkan Umno bagi berdepan Pilihan Raya Umum ke-15.
“Kerana itulah jua wadah sebenar Umno sebagai sebuah parti kembali mengetuai teras pentadbiran negara demi agama, bangsa dan negara,” katanya. – Malaysiapost