Reformasi Parlimen dengan lantik Timbalan Speaker dari kalangan pembangkang – Kit Siang

Reformasi Parlimen dengan lantik Timbalan Speaker dari kalangan pembangkang – Kit Siang

VETERAN DAP, Lim Kit Siang berpendapat peletakan jawatan Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Timbalan Speaker membuka jalan untuk reformasi Parlimen dengan melantik penggantinya dari kalangan pembangkang.

Menurutnya, ia mesti menjadi sebahagian daripada reformasi Parlimen dan institusi yang memerlukan komitmen pelaksanaan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, banyak perkara memerlukan komitmen Perdana Menteri terutama pendekatan dan strategi yang melibatkan keseluruhan masyarakat untuk melawan wabak Covid-19.

“Kerana inilah Perdana Menteri baharu perlu bersifat terbuka kepada kritikan dan cadangan seperti dicadangkan Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta (FPMPAM) dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

“Antara cadangannya ialah mengenai tindakan mengetepikan peranan doktor am swasta dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan pemecutan pelaksanaan program vaksinasi di negeri luar Lembah Klang.

“Selain itu, mengenai sambungan semula program bantuan makanan khas untuk pelajar dan dasar baharu bagi mengakhiri angka kematian akibat Covid-19 yang tinggi dan menyelamatkan nyawa serta kehidupan rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Kit Siang, krisis politik yang dihadapi negara hanya boleh diselesaikan dengan semua parti politik kembali semula kepada prinsip pembinaan negara bangsa yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

“Ia membabitkan sistem monarki berperlembagaan berteraskan demokrasi berparlimen, doktrin pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, tadbir urus yang baik dan penghormatan kepada hak asasi manusia.

“Kita perlu kembali kepada kehidupan normal sebelum boleh memulakan fasa seterusnya perjuangan untuk memenuhi aspirasi Bapa Malaysia bagi negara menjadi sebuah sinar cahaya dalam dunia yang kelam dan terganggu,” katanya.

Beliau bagaimanapun berpendapat, sebelum boleh menjadi sinar cahaya kepada dunia, Malaysia perlu mencapai status negara hebat bertaraf dunia, bukannya kekal dalam arah menjadi sebuah negara gagal. – Malaysiapost

Komen