Tak perlu usul undi percaya – Tun M

BEKAS Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat tiada keperluan untuk usul undi percaya terhadap Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebagai Perdana Menteri di Parlimen.

Menurutnya, ia tidak perlu dilakukan kerana memberi risiko berulang kemelut politik dalam negara.

“Saya tidak fikir perkara itu (elok dilakukan) kerana kita tak nak tukar sekali lagi Perdana Menteri.

“Kalau ke Parlimen, dia (Ismail Sabri) tak dapat majoriti, (Perdana Menteri) kena tukar lain dan dunia ketawakan kita,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Langkawi, di Langkawi, hari ini.

Dr Mahathir diminta mengulas mengenai gesaan Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah, supaya undi percaya terhadap Perdana Menteri dibuat segera di Parlimen.

Sementara itu, ketika mengulas slogan ‘Keluarga Malaysia’ yang diperkenal Ismail Sabri, beliau berkata, slogan itu perlu disusuli cara bekerja oleh pemimpin dan rakyat.

“Kalau tukar slogan, tapi buat kerja macam itu juga tak guna…mengarut sahaja dan kita khuatir (kemampuan) dia (Ismail Sabri) bawa cara baharu atau tidak.

“Kalau kita lihat dari segi penyokong kerajaan adalah orang sama… tiada beza langsung, cuma yang tukar Perdana Menteri,” katanya.

Semalam Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh yang lebih dikenali dengan panggilan Ku Li menggesa undi percaya terhadap Perdana Menteri yang baharu dibuat segera untuk memastikan mempunyai sokongan majoriti.

Ku Li berpendapat, ia untuk membolehkan Perdana Menteri mentadbir tanpa sebarang gangguan oleh mana-mana pihak selepas ini.

Beliau tidak bersetuju dengan pandangan mengatakan Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk memberi pengesahan kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong dalam hal pelantikan Perdana Menteri. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights