BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengimbau kenangan 65 tahun lalu ketika bertugas sebagai pegawai perubatan di Pulau Langkawi.
Ketika turun ke kawasan Parlimennya hari ini, Ahli Parlimen Langkawi berusia 96 tahun itu singgah ke sebuah kuarters di Jalan Ayer Hangat di Kuah.
Kuarters tersebut tidak lagi berpenghuni dan seperti mengalami beberapa kerosakan termasuk cermin tingkapnya pecah, namun strukturnya masih kelihatan kukuh.
“Pada tahun 1956 saya ditugas sebagai Medical Officer, Langkawi. Ini kuarters yang saya tinggal selama enam bulan di Jalan Ayer Hangat, Kuah.
“Di seberang jalan terletak hospital lama. Reka bentuk rumah ini masih kekal.
“Di jendela yang sama saya lihat perubahan Langkawi,” tulis Dr Mahathir menerusi Facebooknya hari ini.
Beliau turut berkongsi gambarnya dari jendela di kuarters berkenaan hari ini, posisi sama beliau melihat Langkawi 65 tahun lalu. – Malaysiapost