Wanita tular tanpa vaksin makan di restoran ditahan

Wanita tular tanpa vaksin makan di restoran ditahan

SEORANG wanita tanpa vaksin lengkap yang memuat naik gambar dirinya menjamu selera di beberapa kedai makan bersama suami dan anaknya, telah ditahan pihak berkuasa. 

Difahamkan, wanita dan suaminya itu melakukan eksperimen sosial bagi melihat bagaimana tindakan akan dikenakan kepada mereka yang tidak divaksin sekiranya memasuki restoran dan premis perniagaan. 

Justeru, perbuatan mereka itu menimbulkan kegusaran kepada orang ramai dan didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN). 

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata pihaknya telah menerima aduan berkaitan kenyataan yang tular di media sosial oleh pemilik akaun bernama Mujaheeda Soleha. 

“Wanita itu memuat naik kenyataan berkisarkan tentang eksperimen sosial beliau masuk ke beberapa kedai dan gambar makan di dalam kedai atau dine-in bersama anak dan suami, walaupun belum mendapatkan dos lengkap suntikan vaksin. 

“Pemilik akaun juga memuat naik kenyataan yang mendatangkan ketakutan dan kegentaran kepada orang awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Shamsul Amar berkata, bertindak atas aduan tersebut, pihaknya telah menahan pasangan suami isteri berusia 35 dan 36 tahun itu sekitar jam 5 petang semalam di rumah mereka di Klang. 

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 269 dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan serta turut disiasat mengikut Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi Malaysia. 

Beliau berkata, pasangan suami isteri itu tidak direman sebaliknya diambil keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan. 

“Mereka dibebaskan dengan jaminan sementara polis melengkapkan kertas siasatan dan diangkat kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan tindakan lanjut,” katanya. – Malaysiapost

Komen