26 guru di Perlis enggan terima vaksin

SERAMAI 26 guru sekolah di Perlis dikesan menolak untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) negeri, Rozieana Ahmad berkata, daripada 4,710 guru di Perlis, 4,504 sudah melengkapkan dos vaksin Covid-19 manakala baki 206 belum lagi mengambil sebarang dos.

“Daripada jumlah itu, 91 guru enggan menerima vaksin pada mulanya namun selepas perbincangan, 65 guru bersetuju untuk menerima suntikan vaksin.

“Seramai 26 guru lagi tegar menyatakan belum bersedia untuk menerima vaksin,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Pertama, Penggal Persidangan Keempat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Yang ke-14 di Kangar, hari ini.

Rozieana berkata, proses perbincangan melalui kaunseling masih dijalankan bagi memastikan guru terbabit menerima untuk divaksin.

“Mereka yang enggan menerima vaksin ini mempunyai sebab berbeza seperti masalah kesihatan dan tidak menolak 100 peratus vaksin ini.

“Namun, bagi yang ada masalah kesihatan boleh mendapatkan nasihat doktor dan diberi kaunseling,” katanya.

Rozieana berkata, pihaknya merayu kepada kumpulan guru berkenaan supaya berfikir secara rasional demi keselamatan murid apabila pembelajaran secara bersemuka bermula kembali.

“Kerjasama guru ini amat diharapkan kerana jika mereka tidak mahu divaksin, sukarlah sekolah hendak dibuka dan ini mendedahkan mereka kepada risiko jangkitan Covid-19.

“Terdapat 104 sekolah menengah dan rendah merangkumi 43,716 murid di Perlis,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights