75 penduduk Pulau Perhentian positif Covid-19

SEKATAN pergerakan dikenakan kepada penduduk di Pulau Perhentian, Besut di Terengganu berkuat kuasa Jumaat lalu, susulan seramai 75 penduduk disahkan positif Covid-19, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong.

Beliau berkata, sekatan pergerakan itu dikuatkuasakan bagi mengelak berlakunya penularan virus Covid-19.

Katanya, penduduk yang disahkan positif itu kini dirawat di Hospital Setiu (HS) dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Kem Wawasan, Besut serta Institut Pendidikan Guru (IPG) di Kampus Sultan Mizan, Besut.

“Semua penduduk yang menjalani proses rawatan itu berada dalam keadaan stabil.

“Kami sudah melakukan proses ujian calitan Covid-19 selepas 75 penduduk di pulau peranginan itu disahkan positif,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Dr Kasemani berkata, proses ujian saringan membabitkan 70 peratus penduduk dilaksanakan sejak Jumaat lalu dan selesai sepenuhnya hari ini.

Beliau berkata, punca penularan Covid-19 bukan disebabkan pelancong, sebaliknya pergerakan penduduk yang tinggal di pulau peranginan itu berulang-alik melaksanakan urusan di tanah besar.

“Bagi mengekang penularan lebih besar, sekatan pergerakan keluar masuk ke pulau berkenaan dikuatkuasakan sejak Jumaat lalu.

“Penduduk berstatus kontak rapat diarahkan menjalani kuarantin di rumah dengan pengawasan ketat oleh penguat kuasa kesihatan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights