866 remaja, kanak-kanak positif Covid-19 di Sabah
SERAMAI 866 orang daripada keseluruhan 3,224 kes positif Covid-19 direkodkan di Sabah hari ini terdiri daripada golongan remaja dan kanak-kanak berusia 17 tahun dan ke bawah.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri yang juga merupakan jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata daripada jumlah tersebut, seramai 565 orang berusia enam hingga 17 tahun, manakala 268 individu berusia satu hingga lima tahun dan 33 orang pula berusia kurang setahun.
“Kesemua 866 orang didapati positif Covid-19 ini masih belum layak untuk diberikan vaksin.
“Setakat semalam, 53.9 peratus penduduk dewasa Sabah telah memperoleh satu dos vaksin dan 32.5 peratus telah melengkapkan pengambilan dua dos,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, daripada jumlah kes direkodkan hari ini, seramai 2,119 orang positif wabak itu berusia antara 18 hingga 59 tahun, manakala 239 orang merupakan warga emas berusia 60 tahun atau lebih.
“Seluruh daerah di Sabah mencatatkan perubahan angka kes positif Covid-19 yang terus meningkat dengan Kota Kinabalu merekodkan kes tertinggi hari ini iaitu 630 kes, Penampang (413) dan Tuaran (348).
“Dengan jumlah catatan sebanyak 2,098 kes daripada saringan kontak rapat, dapat disimpulkan masih terdapat kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan sungguhpun pelbagai seruan dan saranan telah dilakukan oleh pihak kerajaan,” katanya.
Beliau berkata, jumlah kes dicatatkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif keseluruhan di Sabah mencapai 131,030 kes.
“Seramai 2,020 pesakit Covid-19 pula sembuh hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sembuh seramai 101,624,” katanya. – Malaysiapost