SEORANG bekas banduan ditahan selepas dipercayai memukul ibunya menggunakan kerusi plastik kerana tidak berpuas hati selepas motosikalnya ditarik pihak kedai disebabkan tidak membayar ansuran bulanan.
Kejadian yang berlaku jam 10 pagi semalam menyebabkan mangsa yang merupakan ibu kandung lelaki itu mengalami bengkak di kepala dan luka di tangan serta bahu kiri.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Superintendan Collin Babat, berkata lelaki berusia 33 tahun itu berjaya ditahan polis susulan laporan dibuat mangsa jam 11.40 pagi, hari ini.
Beliau berkata, kejadian dilaporkan berlaku di kawasan rumah panjang didiami mereka.
“Suspek bertindak agresif dan tidak berpuas hati dengan ibunya selepas motosikalnya ditarik oleh pihak kedai.
“Ibu suspek berusia 68 tahun cuba menenangkannya tetapi akhirnya dipukul,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Collin berkata, kerusi plastik yang digunakan suspek untuk memukul ibunya turut dirampas sebagai barang bukti kes.
Katanya, suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau kini direman selama empat hari sehingga 29 Ogos ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
“Semakan polis juga mendapati suspek baru sahaja keluar dari Penjara Sibu setelah menjalani hukuman penjara selama lima bulan atas kesalahan mengikut Seksyen 324 dan 326A Kanun Keseksaan,” katanya. – Malaysiapost