Kerajaan baharu wajar bentang RUU Dana Politik di Parlimen

Kerajaan baharu wajar bentang RUU Dana Politik di Parlimen

SETIAUSAHA Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kerajaan baharu wajar untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) berhubung pembiayaan dana politik di Parlimen.

Beliau berkata, Akta Pendanaan Politik itu bertujuan untuk melindungi pemberi dan penerima supaya kedua-dua pihak itu tidak dizalimi oleh musuh politik menerusi agensi tertentu.

“Kerajaan yang baru ini wajar bentang RUU di Parlimen tentang dana politik

“Akta pendanaan politik itu mesti melindungi pemberi dan penerima agar tidak dizalimi oleh musuh politik yang mengguna agensi-agensi tertentu,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pontian itu berkata, walaupun dana politik dibenarkan di negara ini namun ia masih belum dikawal dengan sebarang akta.

“Saya pernah tanya soalan kepada Kementerian Kewangan di DewanRakyat adakah dana politik dikenakan cukai? Jawabnya tidak.

“(Sebanyak) 41 pihak disita & 80 pihak dikompaun dengan tuduhan mereka terima wang tertentu. Namun yang terima tidak tahu asal usul wang dan fikir itu dana politik. Jadi adakah itu adil?,” katanya.

Ahmad berkata, beliau yakin pasti ada cadangan lain yang mahu Akta Dana Politik ini diwujudkan bagi menjamin pemberi dan penerima dana berkenaan.

Semalam Ahmad Maslan, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas dua pertuduhan, gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ahmad, 55, pertama kali membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh selepas mahkamah membenarkan permohonannya untuk memindahkan kes berkenaan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi pada 13 Julai lepas.

Baru-baru ini, Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan mengesa agar Akta Pembiayaan Dana Politik dibentangkan secepat mungkin bagi mengelakkan isu penyelewengan dan rasuah dalam kalangan ahli politik.

Malah tegasnya, kerajaan hari ini tidak perlu menunggu lebih lama dengan masih mengulang kembali perbincangan demi perbincangan sedangkan draf akta dana politik sudah sedia ada untuk digubal di Parlimen. – Malaysiapost

Komen