Kosongkan jawatan TPM, ‘checkmate’ pada pihak melobi – Puad

AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata seeloknya-eloknya jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dikosongkan agar menjadi ‘checkmate’ kepada pihak yang melobi dan berebut jawatan tersebut.

Kenyataan tersebut mengulas laporan bahawa seorang pegawai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan dakwaan Ahli Parlimen Gombak itu mengugut menarik balik sokongan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jika tidak dilantik sebagai TPM.

“Lagi pun nak ugut dan tarik sokongan bagaimana? Usul undi percaya di Parlimen pada 6 September 2021 akan datang sudah tidak relevan. Sudah tidak perlu.

“Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri secara demokratik dan ikut perlembagaan. Maka Ismail Sabri tidak perlu takut dengan ugutan,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Mohd Puad berkata, mengikut komen-komen netizen di media sosial semasa kerajaan Perikatan Nasiona (PN), imej Mohamed Azmin adalah negatif dari segi isu moral dan semasa berkhidmat.

Justeru, katanya, melantik Mohamed Azmin bagi jawatan TPM umpama ‘bunuh diri’.

“Maka sesiapa yang mahu tarik sokongan terhadap Ismail Sabri kerana isu jawatan, mereka akan dilihat sebagai ‘budak jahat’,” ujarnya.

Nama Ahli Parlimen Gombak merupakan seorang daripada tiga pemimpin Bersatu yang disebut-sebutr untuk menjadi timbalan Ismail Sabri.

Dua lagi adalah setiausaha agung Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) juga menggesa jawatan Timbalan Perdana Menteri kedua diwujudkan untuk diisi Ahli Parlimen daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS). – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights