Kumpulan kedua 43,200 dos vaksin tiba di Sabah
SEBANYAK 43,200 kumpulan kedua dos vaksin Covid-19 dos tunggal jenis CanSino selamat tiba di Sabah.
Bekalan itu diangkut menggunakan pesawat MH6312 Mas Cargo yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan tiba di MasKargo Terminal I Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, jam 9.05 pagi tadi.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentabiran), Datuk Masnah Matsalleh berkata vaksin tersebut akan diberi keutamaan kepada penduduk di kawasan pedalaman, luar bandar dan pulau di seluruh Sabah.
“Pengagihan vaksin ini telah ditetapkan di daerah-daerah oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM). Setakat ini, vaksin yang diterima mencukupi bagi keperluan sasaran yang telah ditetapkan.
“Vaksin dos tunggal CanSino bagi kumpulan pertama telah tiba semalam iaitu sebanyak 50,800 dos,” katanya.
Masnah yang juga Pengarah Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Negeri Sabah memaklumkan Sabah bakal menerima 86,000 dos vaksin sama, pada 27 Ogos ini.
Tambah beliau, dengan bekalan tambahan vaksin dari beberapa negeri, Sabah berupaya menampung sasaran pemberian vaksin di negeri itu.
“Selain kumpulan kedua vaksin CanSino, kita menerima 70,000 dos vaksin SinoVac hari ini. Minggu ini, kita menerima beberapa jenis vaksin seperti Pfizer sebanyak 252,720 dos pada Isnin.
“Kita difahamkan Jumaat ini, kita akan menerima bekalan vaksin dari Sarawak dan Selangor. Jadi, bekalan vaksin yang ada ini dapat menampung sasaran pemberian di Sabah,” ujarnya. – Malaysiapost