Mahu lari, pesakit Covid-19 terjun dari tingkap hospital
SEORANG lelaki yang juga pesakit Covid-19 dilaporkan cuba melarikan diri dengan terjun dari tingkat lima Hospital Sungai Buloh, semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, kejadian berlaku pada jam 3.20 petang membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun.
“Lelaki terbabit yang juga pesakit Covid-19 telah dimasukkan ke wad semalam kira-kira jam 3 petang.
“Dia juga kelihatan murung dan bertindak untuk keluar daripada wad, namun berlaku pergelutan selepas jururawat tersebut cuba menghalangnya,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Shafa’aton berkata, lelaki terbabit kemudiannya telah bertindak agresif dengan menumbuk muka dan mengejar jururawat berkenaan.
“Dia turut mengganggu pesakit lain sebelum pergi ke tingkap dan cuba untuk terjun. Petugas di hospital berkenaan cuba menyelamatkan mangsa namun mangsa terjatuh ke aras bawah hospital tersebut.
“Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian badan serta muka dan telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk menerima rawatan,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya mengesahkan telah menerima laporan berhubung kejadian hari ini kira-kira jam 8.10 malam dan kes masih dalam siasatan. – Malaysiapost