Nurul Huda Abhar
BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, berkata pemilihan nama bagi kerajaan baharu di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri tidak penting, yang utama adalah keberhasilan strategi yang dibawa.
Beliau berkata, apa yang rakyat mahukan pada kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri ke-9 adalah pembaharuan dari segi strategi dan dasar menguruskan negara.
“Nama tak penting tapi pada saya yang lebih diutamakan ini kerajaan baharu, kerajaan Persekutuan yang akan menentukan reaksi, penilaian rakyat yang akhirnya bukan pada nama tetapi pada keberhasilan.
“Apa yang rakyat hendak adalah pembaharuan. Kalau strategi lama, dasar lama tidak berkehasilan maka mestilah diubah,” katanya ketika ditemui semasa ‘flag off’ sumbangan bagi mangsa banjir di Merbok dan Yan hari ini.
Najib berkata, kerajaan baharu harus mencari pendekatan lain yang lebih baik kerana strategi lama yang digunakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak menunjukkan hasil.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pekan itu juga menegaskan jika strategi lama untuk menangani krisis kesihatan dan ekonomi diteruskan, maka tidak boleh diharapkan peningkatan dari segi keberhasilan.
“Inilah yang rakyat harapkan berdasarkan kepada komen-komen yang saya dapat teliti dalam media sosial,” ujarnya.
Ismail Sabri mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-9 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada 21 Ogos lalu.
Setakat ini, pemilihan nama bagi kerajaan pimpinan Ismail Sabri masih tidak dinyatakan sama ada menggunakan nama sedia ada iaitu PN atau memilih nama baharu.
Sebelum ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menyarankan supaya kerajaan pimpinan Ismail Sabri disebut sebagai kerajaan Persekutuan.
Ketua Umno Bahagian Tuaran itu tidak mahu kerajaan ini dipanggil sebagai kerajaan PN.
Katanya, beliau meminta semua pihak tidak melabelkan kerajaan kini sebagai kerajaan PN kerana ianya sudahpun berakhir.
“Alhamdullilah YAB DS Ismail Sabri telah dilantik menjadi Perdana Menteri ke-9.
“Maka jenama Perikatan Nasional sebagai kerajaan persekutuan berakhir hari ini. Sebelum ini pun Barisan Nasional (BN) bukan ahli komponen PN,” katanya. – Malaysiapost