Peluang lihat Musytari di langit malam sehingga Disember

Peluang lihat Musytari di langit malam sehingga Disember

PENDUDUK Malaysia berpeluang menyaksikan planet Musytari pada waktu malam sepanjang bulan ini sehingga Disember 2021.

Perkara itu dikongsi Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) menerusi satu hantaran di Facebooknya.

Menurut MYSA, sekiranya cuaca mengizinkan, orang ramai boleh memerhatikan planet Musytari menggunakan mata kasar sahaja selain menggunakan binokular dan teleskop dengan menghadap ke ufuk timur yang bebas sebarang halangan.

“Musytari berada di buruj Aquarius mulai Ogos 2021 dan menjejak sedikit demi sedikit ke arah barat sepanjang Ogos 2021 dengan merentas di sempadan buruj Aquarius – Capricornus.

“Semasa oposisi pada kali ini, Musytari akan kelihatan sepanjang malam di sekitar buruj Capricornus dengan diameter ketara Musytari adalah sebanyak 49 saat arka,” tulis hantaran itu.

Kongsi MYSA lagi, permukaan Musytari dengan ciri luaran yang menonjol iaitu Great Red Spot serta empat bulan utamanya, iaitu Io, Europa, Ganymede dan Callisto yang dikenali sebagai Galilean Moons (Io, Europa, Ganymede dan Callisto) boleh dilihat dengan jelas dengan menggunakan teleskop.

Untuk makluman, Capricornus ialah buruj zodiak di hemisfera selatan yang berhampiran dengan Sagittarius. Bintang tercerah terdiri daripada bintang magnitud ketiga.

Aquarius pula ioalah buruj hemisfera selatan yang luas berhampiran Pegasus, dan bintang tercerahnya terdiri daripada bintang magnitud ketiga.

Diameter ketara atau dikenali sebagai diameter sudut ialah ukuran sudut objek yang dilihat dari bumi. Unit diameter sudut jasad samawi dalam sebutan minit arka (arcmin) dan saat arka (arcsec). – Malaysiapost

Komen