Penyertaan Nur Syaiful batal gara-gara pelekat bahu

WAKIL negara di Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Nur Syaiful Zulkafli ternyata kecewa apabila tidak melepasi peringkat saringan renang S5 gaya bebas 200 meter (m) lelaki di Pusat Akuatik Tokyo, hari ini.

Penyertaan Nur Syaiful dalam saringan satu dibatalkan akibat kesilapan teknikal kerana meletakkan pita pelekat di bahagian bahunya yang terdapat bisul.

Katanya, apa yang mengecewakan apabila ia bukan kesalahan berpunca daripada pihaknya.

“Sebelum pertandingan saya sudah berjumpa pegawai bertugas mengenai masalah saya. Mereka tidak beri jawapan pasti. Mereka kata saya boleh tampak tape (pelekat) atau tanggalkannya.

“Sehari sebelum pertandingan juga saya berjumpa pegawai yang bertugas, jawapannya tetap sama. Mereka juga beri jawapan 50-50, boleh letak atau tanggalkan.

“Jadi bila tiada jawapan pasti, saya pilih untuk tampal pelekat bagi mengurangkan rasa sakit di bisul berkenaan yang sudahpun bernanah,” katanya.

Nur Syaiful berkata, dia mahu menebus kekecewaan apabila turun dalam acara 100m gaya bebas esok, selain masih mempunyai dua lagi saingan untuk disertai 50m (gaya bebas) dan 100m kuak dada.

Nur Syaiful mengesahkan tempat ke Paralimpik Tokyo 2020 selepas meraih pingat gangsa 50m gaya bebas (S5) pada Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di London.

Empat perenang, Antoni Ponce Bertran dari Sepanyol, Daneil de Faria Dias (Brazil), Dmitrii Cherniaev (Rusia) dan Sebastian Rodriguez (Sepanyol) meneruskan cabaran ke peringkat seterusnya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights