DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan pertemuan beliau bersama pemimpin-pemimpin pembangkang hari ini tertumpu kepada agenda kepentingan rakyat dalam mencari titik persamaan terbaik bagi menangani krisis Covid-19.
Perdana Menteri berkata pertemuan selama lebih sejam itu turut memberi tumpuan kepada usaha menjaga nyawa dan keselamatan diri daripada ancaman wabak serta membebaskan rakyat daripada cengkaman ekonomi berikutan kehilangan pekerjaan dan pendapatan.

Pertemuan itu dihadiri tiga pemimpin Pakatan Harapan (PH) iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu hari ini.

Ismail Sabri berkata, persetujuan dicapai dalam memperkasa fungsi Parlimen sebagai institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif, menyemak dan mengimbang tadbir urus eksekutif supaya lebih telus dan memenuhi kehendak rakyat.
“Kami juga bersetuju dan memahami peri pentingnya kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang baik bagi memastikan keadaan lebih kondusif untuk rakyat dan negara dalam konteks Keluarga Malaysia,” katanya menerusi kenyataan.
Perdana Menteri juga menjunjung kasih atas nasihat Yang di-Pertuan Agong untuk meredakan suhu politik dalam negara.
Terdahulu, tiga pemimpin pembangkang itu tiba di Pejabat Perdana Menteri kira-kira jam 2 petang untuk mengadakan pertemuan dengan Ismail Sabri.
Mereka kemudian meninggalkan bangunan Perdana Putra di Putrajaya pada jam 3.30 petang. – Malaysiapost