Pertemuan dengan PM tak bincang isu jawatan dalam Kabinet
KAMI tidak bincang isu jawatan dalam Kabinet, demikian tegas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Putrajaya hari ini.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata perkara itu tidak berbangkit dan tiada dalam agenda PH.
Sebaliknya, Presiden PKR itu menegaskan pertemuan kira-kira sejam dengan Perdana Menteri adalah untuk membincangkan isu-isu berkaitan rakyat yang terkesan akibat Covid-19.
“Jawatan dalam Kabinet tak berbangkit, itu saya tak mahu dijadikan isu, kita tak diminta datang untuk jawatan. Kita nak bincang isu rakyat dan ekonomi,” katanya kepada media selepas pertemuan dengan Perdana Menteri.
Turut menyertai pertemuan itu ialah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.
Sementara itu, Anwar berkata Ahli Parlimen pembangkang tidak akan mempersulitkan perjalanan persidangan Dewan Rakyat bulan depan jika Perdana Menteri melaksanakan usaha-usaha pro rakyat dalam menangani wabak Covid-19.
“Kita beritahu (Perdana Menteri) kalau suasana begini dan program pro rakyat dilaksanakan, kita takkan mempersulitkan,” katanya. – Malaysiapost