PAKATAN Harapan (PH) memberi jaminan bersetuju mententeram serta mengurangkan suhu politik negara jika Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil pendekatan pro rakyat bagi menangani Covid-19.
Pengerusi PH yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu ditekankan PH ketika pertemuan dengan Ismail Sabri di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.
Pertemuan yang berlangsung kira-kira sejam itu turut dihadiri Presiden Amanah, Mohamad Sabu serta Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Anwar berkata pertemuan itu adalah permulaan baik hubungan antara kerajaan dan pembangkang yang mana mereka telah mengemukakan kepada Perdana Menteri mengenai usaha-usaha menangani penularan serta kesan Covid-19 terhadap rakyat.
“Kita kemukakan tentang usaha menangani Covid-19 yang lebih berkesan, program untuk rakyat yang lebih menyentuh iaitu permasalahan golongan miskin dan mereka yang kehilangan pekerjaan.
“Jadi untuk menteram dan mengurangkan suhu politik, memang kita persetujui, tapi isu-isu ini kita tekankan supaya Perdana Menteri beri perhatian.
“Kita juga beri jaminan kalau program pro rakyat dan usaha tangani Covid-19 lebih berkesan, tiada masalah untuk menjamin keadaan (politik) yang lebih terkawal,” katanya kepada media selepas pertemuan itu.
Anwar berkata, pembangkang juga tidak akan mempersulitkan usul undi percaya di Dewan Rakyat jika Perdana Menteri melaksanakan usaha-usaha pro rakyat dalam menangani wabak Covid-19.
“Kita beritahu (Perdana Menteri) kalau suasana begini dan program pro rakyat dilaksanakan, kita takkan mempersulitkan,” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar berkata beliau sempat berseloroh dengan Perdana Menteri kerana berbincang dengan beliau serta Guan Eng yang mewakili DAP, sedangkan Umno lantang menyatakan ‘No Anwar, No DAP’.
“Ismail Sabri ini dari Umno, dia bincang dengan Anwar dan DAP. Saya gurau dengan dia ‘No Anwar, No DAP’ ni nampak sudah beruabah.. dia kata ini atas semangat titah Tuanku untuk semua pihak bekerjasama,” katanya.
Beliau berkata, Guan Eng turut mengemukakan beberapa isu ekonomi termasuk moratoiroium bank, manakala Mohamad Sabu membangkitkan kesan Covid-19 yang memerluikan pendekatan baharu untuk menanganinya. – Malaysiapost