Premis ingkar SOP PPN akan ditutup serta-merta

Premis ingkar SOP PPN akan ditutup serta-merta

PREMIS yang ingkar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan membenarkan individu tidak lengkap dua dos vaksinasi untuk makan di restoran (dine-in) akan diarah tutup serta-merta.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim tindakan itu akan dilaksanakan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kita akan terus mempertingkatkan pasukan pemantauan bersama PBT, sekiranya ada yang ingkar dan tidak mematuhi SOP, kita tidak keberatan untuk memastikan premis perniagaan itu dicadang tutup sementara waktu.

“Orang yang ingin dine-in mesti lengkap dua dos vaksin, bahkan saya sendiri pergi ke beberapa premis dan menasihati pemilik perniagaan supaya mengikut SOP,” katanya seperti dilaporkan Malaysia Gazette.

Beliau mengulas tindakan eksperimen sosial suami isteri yang masuk beberapa kedai serta makan di restoran walaupun tidak lengkap dua dos vaksin Covid-19 seperti tular di media sosial.

Susulan itu, pasangan suami isteri berusia 35 dan 36 tahun tersebut ditahan di rumah mereka di Bandar Putera 2, Klang bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Zainal Abidin berkata, pihaknya akan mengeluarkan arahan dalam masa terdekat untuk menarik semula beberapa sekatan jalan raya (SJR) berdasarkan SOP terbaharu PPN.

“Kita akan buat kajian untuk keluarkan arahan supaya SJR ini ditarik semula tetapi bukanlah 100 peratus kerana SJR yang dibuat juga bertujuan untuk Op Benteng Covid-19 di sempadan negeri, yang itu kita kekalkan.

“Dalam masa sama, kita akan mengeluarkan arahan diperbanyakkan lagi operasi ‘snap check’ bagi memastikan semua premis perniagaan terus patuh SOP,” katanya. – Malaysiapost

Komen