HARGA runcit bagi petrol RON97 turun dua sen seliter iaitu daripada RM2.74 kepada RM2.72 seliter manakala RON95 dan diesel masing-masing kekal RM2.05 dan RM2.15 seliter, bagi tempoh 26 Ogos sehingga 1 September ini.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan, berkata harga baharu berkenaan berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Automatic Pricing Mechanism (APM).
“Kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 pada paras harga siling RM2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter.
“Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, sungguhpun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua produk meningkat melebihi paras harga siling yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu hari ini.
Sehubungan itu, MOF berkata, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terpelihara. – Malaysiapost