Siar fitnah terhadap keluarga Sheila Rusly, blogger mohon maaf

Siar fitnah terhadap keluarga Sheila Rusly, blogger mohon maaf

BLOGGER Kaki Komen, yang menyiarkan berita fitnah mengenai keluarga penerbit, Sheila Rusly tampil membuat permohonan maaf secara terbuka di laman Facebook.

Kaki Komen menerusi satu hantaran semalam, memohon maaf secara terbuka susulan kapsyen yang didakwa berbaur fitnah terhadap keluarga Sheila dan menantunya yang juga pelakon, Elisya Sandha.

“Kami selaku admin Kaki Komen ingin memohon maaf secara terbuka atas kesilapan kapsyen mengenai Elisya dan Sheila.

“Dengan ini, kami ingin memohon maaf kepada keluarga Jinggo (suami Sheila), Sheila, keluarga Elisya dan mengakui kesilapan serta berjanji tidak akan mengulangi lagi,” tulisnya dalam hantaran itu.

Dalam masa sama, blogger itu membuat pesanan kepada pengendali blog lain agar sentiasa berhati-hati sebelum mengeluarkan sebarang berita.

“Saya mahu berkongsi kesedaran saya dengan rakan-rakan blogger yang lain supaya pastikan sumber itu benar sebelum membuat sesuatu hantaran kerana sesungguhnya, dosa, pahala, syurga dan neraka itu benar,” tulisnya.

Semalam, Sheila berang setelah timbul kenyataan kononnya dia pernah mencadangkan nama pelakon, Janna Nick sebagai calon isteri untuk anaknya, Uzair Haqimy tetapi ditolak Janna sebelum memilih Elisya.

Susulan itu, aktres tersebut memaklumkan mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap blogger terbabit yang didakwa menabur fitnah kepada keluarga, anak dan menantunya.

Terdahulu, Uzair dan Elisya selamat bergelar suami isteri pada Sabtu lalu.

Sementara itu dalam hantaran berasingan di Facebook, admin Kaki Komen turut memohon maaf kepada Janna Nick. – Malaysiapost

Komen