Sultan Johor sumbang bantuan makanan kepada 146 pelajar

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini berkenan mengurniakan bantuan makanan kepada 146 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Infant Jesus Convent Johor Bahru.

Menerusi kenyataan di laman Facebook rasmi Baginda, memaklumkan bantuan tersebut disampaikan wakil Sultan Ibrahim Datuk David Wong kepada pengetua sekolah berkenaan, Ande Noor Munawara Bachok.

“Daripada jumlah penerima bantuan, seramai 115 keluarga merupakan dari golongan B40, manakala 30 keluarga terjejas pendapatan apabila ketua keluarga hilang pekerjaan, manakala sebuah lagi keluarga merupakan ibu tunggal yang mengidap angin ahmar.

“Puan Ande Noor Munawara turut merakamkan setinggi-tinggi kasih kepada DYMM Sultan Johor diatas kurniaan bantuan makanan kepada keluarga pelajar-pelajar yang terkesan akibat pandemik Covid-19,” kata kenyataan itu.

SMK Infant Jesus Convent Johor Bahru adalah sekolah harian di bawah pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru, dan merupakan sekolah perempuan yang pertama dibuka pada tahun 1925.

Tapak tanah di mana sekolah itu berada sekarang merupakan kurniaan Almarhum Sultan Sir Ibrahim pada tahun 1924 kepada I.J. Sisters.

Sejak mula beroperasi, sekolah ini telah mencatat kejayaan dan pencapaian dalam pelbagai bidang merangkumi akademik, kokurikulum dan kemenjadian murid.

Antara kenamaan yang pernah bersekolah di sekolah ini termasuk Allahyarhamah Toh Puan Rahah Mohamed Noah, penulis tersohor Adibah Amin, dan pemenang Masterchef Australia tahun 2017, Diana Chan. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights