TDM sedia terima sarjan dipecat tolak vaksin

TENTERA Darat Malaysia (TDM) sedia menerima kembali anggotanya berpangkat sarjan yang dipecat kerana menolak pengambilan suntikan vaksin Covid-19.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain, berkata peluang berkenaan diberi atas sifat perikemanusiaan terhadap anggota terbabit yang hanya melakukan kesalahan kerana enggan divaksin.

“Kita manusia biasa, kesalahannya sebab tak nak ambil vaksin, dia kerja berkumpulan tapi kalau dia sedia (divaksin) kita boleh pertimbangkan,” katanya seperti dilapor MalaysiaGazette.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan Dana Kempen Tabung Pahlawan 2020 kepada Persatuan Veteran ATM hari ini, bagi mengulas tindakan seorang anggota tentera berpangkat sarjan yang enggan divaksinasi baru-baru ini.

Menurut Zamrose, ketika ini status anggota tentera terbabit adalah dipecat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, anggota tentera itu perlu divaksinasi kerana TDM merupakan sebuah pasukan yang bekerja secara berkumpulan dan vaksinasi itu adalah sangat perlu.

Katanya, TDM tidak boleh melayan perangai seorang daripada anggotanya yang mempunyai pendirian sendiri hanya semata-mata tidak mahu dirinya divaksinasi kerana pasukan itu memiliki lebih 86,000 anggota lagi.

“Kita tak boleh melayan seorang, kita ada 86,000 orang anggota. Kalau kita layan seorang apa akan jadi kepada 86,000 lagi,” katanya.

Katanya lagi, sebelum ini anggota terbabit telahpun dikaunseling sebanyak empat kali namun, dia masih tetap dengan pendiriannya bahawa suntikan vaksin itu tidak sesuai diberikan kepada.

Sebelum ini, TDM mengesahkan seorang anggotanya diberhentikan kerja kerana menolak pengambilan vaksin Covid-19.

Ia adalah susulan setiap anggotanya wajib mengambil suntikan itu, terutama sebelum melaksanakan penugasan dan kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan tatatertib kerana ingkar perintah ditetapkan.

Bagaimanapun, ia terkecuali kepada anggota tergolong dalam kumpulan tidak layak untuk menerima vaksin. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights