Warisan mahu Perdana Menteri selesai 4 isu Perjanjian Malaysia

Warisan mahu Perdana Menteri selesai 4 isu Perjanjian Malaysia

PARTI Warisan Sabah (Warisan) mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob utamakan penyelesaian empat isu daripada 21 isu Perjanjian Malaysia 1963.

Timbalan Presidennya, Darell Leiking berkata 17 daripada 21 isu Perjanjian Malaysia telah dipersetujui semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Warisan sebelum Langkah Sheraton.

“Kerana Sheraton Move, empat isu ini tidak diselesaikan walaupun ada jawapan pada November 2020 bahawa mereka (kerajaan Perikatan Nasional) akan selesaikan.

“Hingga ke hari ini empat isu Perjanjian Malaysia 1963 belum diselesaikan seperti Jawapan Soalan Parlimen Penampang pada November 2020.

“Ini wajib diselesaikan oleh PM Ismail Sabri,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Darell yang juga Ahli Parlimen Penampang turut berkongsi soalan dikemukakannya di Dewan Rakyat pada 17 November 2020.

Empat isu tersebut ialah royalti minyak dan bayaran tunai petroleum; mineral minyak dan medan minyak; Akta Laut Wilayah 2012 [Akta 750]; dan hak negeri ke atas Pelantar Benua (Akta Pelantar Benua 1966) [Akta 83]. – Malaysiapost

Komen