Ahli politik tidak lagi diberi tauliah mengajar agama di Selangor

INDIVIDU berstatus ahli politik tidak akan diberi tauliah untuk mengajar agama Islam di masjid dan surau di Selangor.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata perkara itu diperkenankan Ahli Dewan Diraja menerusi Mesyuarat Dewan Diraja Selangor pada Mac 2019.

“Pada April lalu, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menerusi mesyuarat Jawatankuasa Tauliah juga memutuskan bagi ahli politik yang masih mempunyai tauliah, ia akan terus berkuatkuasa dan dikekalkan sehingga tamat tempoh sah (tauliah) dengan syarat individu berkenaan tidak menyampaikan ceramah yang menyentuh isu kepartian, mengaitkan individu tertentu dan menyebarkan fitnah.

“Ahli politik berkenaan juga perlu menjaga akhlak dan terus memelihara kemuliaan masjid serta surau sebagai pusat ilmu dan dakwah setempat,” katanya seperti dilapor Berita Harian pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Beliau berkata sedemikian menjawab soalan Syamsul Firdaus Mohamed Supri (PH-Taman Medan) mengenai tauliah mengajar agama Islam kepada aktivis organisasi politik.

Amirudin berkata, sehingga kini seramai 31 ahli politik di Selangor masih memegang tauliah mengajar agama Islam.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri Dr Siti Mariah Mahmud berkata, sejumlah 191 kes keganasan rumah tangga direkodkan bagi Januari hingga Mei lalu yang didaftarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Jumlah berkenaan membabitkan kes yang didaftarkan untuk bimbingan dan runding cara iaitu 69 kes bagi daerah Petaling; Hulu Langat (38); Gombak (28); Klang (16); Sepang (15) ; Kuala Langat (14) ; Kuala Selangor (6); Hulu Selangor (3) dan Sabak Bernam (2).

“JAIS kini sedang mengadakan fungsi Pusat Islamic Saviour Obedience (ISO) JAIS Prihatin di setiap daerah yang mana pusat berkenaan berperanan sebagai penyelaras khidmat nasihat, bimbingan dan runding cara kepada masyarakat.

“Peranan pusat ini termasuk dalam hal menerima panggilan berkaitan penderaan mental dan fizikal serta merujuk kepada pihak yang berkuasa seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan polis,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights