KEKOSONGAN jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat harus diisi anggota parti pembangkang melalui usul yang dibawa oleh kerajaan, kata Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Azalina yang meletakkan jawatannya sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat baru-baru ini berkata, cadangan itu boleh dilakukan pihak pemerintah dan pembangkang untuk ‘menetapkan semula’ Dewan Rakyat yang bakal diadakan pada September.
“(Jawatan saya) harus diganti oleh anggota pembangkang, tetapi usul itu mesti dilakukan oleh kerajaan.
“Ini adalah kesempatan terbaik bagi Perdana Menteri untuk menawarkannya sebagai isyarat dan meneruskan urusannya.
“Ia adalah sesuatu yang dapat dicapai. Sekiranya pemerintah melakukan (tindakan) itu, dan disokong sebulat suara, saya rasa ini akan sangat baik untuk sejarah Parlimen Malaysia kerana kita menunjukkan isyarat bahawa kita mahu Parlimen menjadi sebuah platform profesional,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam forum ‘A Roadmap for Parliamentary Reform for and Beyond the Pandemic’ yang diadakan secara maya, hari ini.
Isnin lalu, Azalina mengesahkan meletak jawatan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Semalam, kerajaan berjaya mencapai persetujuan bersama barisan pemimpin pembangkang bagi memperkasa fungsi Parlimen sebagai institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif.
Persetujuan itu dicapai dalam pertemuan di Pejabat Perdana Menteri yang melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. – Malaysiapost