KERAJAAN akan memberi keutamaan kepada individu yang belum menerima vaksin Covid-19 berbanding pemberian dos penggalak (booster dose) bagi mereka yang sudah melengkapkan dua dos vaksin.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pemberian dos penggalak kepada individu lengkap dua dos vaksin tidak membantu menghentikan penularan varian Delta.
“Pemberian dos penggalak (booster dose) kepada mereka yang telah lengkap divaksinkan tidak akan membantu mengawal penularan varian Delta.
“Akan tetapi yang dapat mengawal penularan varian Delta adalah untuk memberi vaksin kepada mereka yang belum divaksinkan,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Dr Noor Hisham berkata kerajaan perlu meningkatkan liputan vaksin dalam negara terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan dos penggalak.
“Tiada sesiapa yang selamat sehingga semua orang selamat,” katanya.
Setakat semalam, sebanyak 57.5 peratus daripada populasi penduduk Malaysia sudah divaksinasi setakat ini dengan dos pertama, manakala 42.4 peratus lengkap dua dos.
Sebanyak 423,380 dos vaksin diberikan semalam membabitkan 161,386 dos pertama dan 261,994 dos kedua. – Malaysiapost