Guna helikopter hantar vaksin ke perkampungan Orang Asli
JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan akan mengguna dua unit helikopter khas untuk membantu membawa bekalan vaksin Covid-19 ke perkampungan orang asli di Gua Musang, Kelantan bermula hujung bulan ini.
Pengarahnya, Zainal Madasin berkata, dua helikopter tersebut dipinjam daripada unit udara JBPM di Subang bagi membantu Program Mobile Outreach Covid-19 Kementerian Kesihatan (KKM).
“Perkara ini sudah mendapat kelulusan daripada jabatan dan dua helikopter terbabit akan digerakkan selewat-lewatnya hujung bulan ini.
“Operasi ini dijangka melibatkan sebanyak 16 pos Orang Asli di sekitar Gua Musang. Urusan mengangkut vaksin akan turut melibatkan kerjasama dengan pihak polis dan petugas kesihatan,” katanya dipetik Kosmo, hari ini.
Mengulas lanjut, Zainal berkata, selain meringankan beban petugas KKM, inisiatif menggunakan helikopter membawa vaksin masuk ke kawasan pedalaman dapat mempercepatkan proses vaksinasi dalam kalangan masyarakat Orang Asli.
“Sebelum ini, kita menggunakan perkhidmatan tiga buah kenderaan. Kini, kita gunakan perkhidmatan helikopter kerana penghantarannya lebih cepat.
“Usaha ini diharap membantu pihak kerajaan negeri Kelantan yang kini sedang sedaya upaya memastikan rakyat mencapai 80 peratus imuniti kelompok menjelang bulan Oktober depan,” katanya. – Malaysiapost
Gambar sekadar hiasan.
Kredit Foto: helis.com